SEGERA RAWAT JIKA ADA SIMPTOM: MB KEDAH
ALOR SETAR - Tiga kematian disebabkan Influenza A (H1N1) dilaporkan di negeri ini, sehingga semalam. Mereka ialah dua pesakit positif H1N1 dari daerah Baling dan seorang dari Sungai Petani yang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, kesemua mereka yang meninggal dunia berusia antara 37 tahun hingga 56 tahun. “Tiga pesakit berkenaan mempunyai penyakit sampingan lain, antaranya darah tinggi, kencing manis dan masalah jantung,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam. Azizan berkata, jumlah kes H1N1 di Kedah kini mencecah 49 kes, dengan 14 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). “Tujuh kanak-kanak bawah 12 tahun antara mereka yang dirawat di ICU di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB). Daripada maklum balas, kesemua yang dijangkiti disebabkan lambat mendapatkan rawatan,” katanya. Berikutan itu, Azizan menasihatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan jika mempunyai simptom-simptom wabak itu. Menurutnya, 80 buah institusi pengajian tinggi/sekolah telah dilaporkan terdedah dengan penularan wabak H1N1 dan sebahagian sudahpun menutup sementara pengajian mereka. “Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) untuk menganjurkan solat hajat untuk rakyat, selain meningkatkan saringan kesihatan di pintu masuk negara. Namun keutamaan kita adalah mengekang penularan dalam komuniti,” katanya. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri belum bercadang untuk mengarahkan pembatalan majlis-majlis terbuka di negeri ini, mahupun mewajibkan pemakaian topeng muka. “Kita akan pantau dan dapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan berhubung isu itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan