Sabtu, Julai 25, 2009

FKS 2009 – PLATFORM KERAJAAN JELAS KEKELIRUAN

SUNGAI PETANI - Festival Kedah Sejahtera (FKS) 2009 yang menggabungkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan dengan lain-lain acara rasmi di bawah setiap portfolio Exco Kerajaan Negeri Kedah berkesan untuk memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan pelaksanaan pentadbiran yang dijalankan Kerajaan Negeri. Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, menerusi usaha penggabungan, selain memberi faedah kepada rakyat, program ini diharap dapat menjadi lebih tersusun, meriah dan memberikan impak yang lebih besar. Menurutnya, Festival Kedah Sejahtera 2009 ini juga akan dijadikan platform kepada masyarakat dan rakyat negeri ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai hal berkaitan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah dengan secara lebih dekat. “Tambahan pula apabila beberapa program disatukan, Kerajaan Negeri dapat menjimatkan kos dan masa yang membabitkan penglibatan kakitangan kerajaan dalam usaha untuk menjayakan festival ini. “Sejak memasuki tahun kedua pentadbiran, kerajaan berazam untuk meningkatkan lagi tahap kesejahteraan hidup rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik. Namun apabila timbulnya sesuatu perkara dan isu, Kerajaan Negeri mendapati ada rakyat yang keliru. “Oleh itu, kerajaan cuba mengatasi masalah ini dengan memberikan penjelasan kepada rakyat melalui saluran komunikasi sedia ada serta mewujudkan platform khas seperti festival ini untuk member penjelasan secara langsung kepada rakyat,” katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Perasmian Festival Kedah Sejahtera 2009 di Laguna Merbok yang bermula semalam dan akan berakhir pada 28 Julai ini. Azizan berkata, penganjuran festival yang julung kali diadakan ini juga diharap dapat memberikan peluang kepada rakyat untuk menjana pendapatan dalam menjalankan aktiviti masing-masing di festival ini. Menurutnya, kerajaan sedaya upaya mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan rakyat tetapi bukan bermakna dengan pemberian subsidi atau bantuan kewangan namun lebih menjurus kepada penghasilan lebih banyak peluang kepada rakyat untuk menjalankan aktiviti masing-masing dalam usaha menjana ekonomi seperti penganjuran festival ini.

Sumber : http://kedahlanie.blogspot.com/24/07/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan